Seri Kembangan, Selangor – 23 Disember 2024, YB. Senator Tuan Isaiah D. Jacob, Ahli Dewan Negara, Parlimen Malaysia telah menerima jemputan lawatan kunjungan hormat ke Smart Rise Therapy Center bertempat di Astetica Residences, Seri Kembangan, Selangor. Beliau sudi untuk turun padang meninjau proses renovasi yang sedang dijalankan di pusat ini bagi memastikan fasiliti yang dibangunkan adalah mesra OKU dan menepati piawaian yang ditetapkan. Ketika kunjungan ini, YB. Senator Tuan Isaiah telah diberi taklimat berkenaan operasi dan perkhidmatan yang ditawarkan di pusat tersebut serta dibawa meninjau ruang-ruang yang ada dengan diiringi oleh YBrs. En. Muhammad Ismail Ibrahim, Pengarah Smart Rise Therapy Center dan Cik Sharifah Haura Uzzahra Syed Abdul Rahman, Ahli Terapis Cara Kerja di pusat tersebut.
Bagi memastikan fasiliti yang dibangunkan adalah mesra OKU, penubuhan Smart Rise Therapy Center telah dibangunkan dengan merujuk kepada kepakaran dari sekumpulan pensyarah, penyelidik dan klinisyen dari Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Masne Kadar. Dalam lawatan kunjungan hormat ini, wakil dari Fakulti Sains Kesihatan, UKM turut disertai oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Mutalib, Pensyarah Kanan di Program Optometri, FSK, UKM dan YBrs. Puan Nur Rafidah Mohamed, dari Klinik Terapi Cara Kerja, FSK, UKM.
Dimana kepakaran yang ada di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini sering dirujuk oleh pihak industri untuk pelbagai tujuan, terutamanya dalam memastikan sesuatu perkhidmatan yang ingin ditubuhkan adalah menepati keperluan golongan sasaran.